"Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara Yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan.." (Al-Qur'an,al-Hujurat (49):6).

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلائِكَةٌ غِلاظٌ شِدَادٌ لا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ



A Journey Of A Thousand Miles Begins With A Single Step

Thursday, March 18, 2010

Menembak,sakit.... ! Ditembak ?????

Polis terpaksa tembak atau ditembak – Warga Prihatin terpanggil untuk menulis, mengajak masyarakat merenung polemik yang timbul baru-baru ini bahawa Anggota Cawangan Jenayah PDRM dituduh secara sengaja atau sewenang wenang menembak penjenayah, khususnya yang melibatkan kaum tertentu.

Beberapa hari secara berturut-turut WP memerhatikan bagaimana isu ini dimainkan oleh pihak-pihak tertentu sehingga memaksa Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berhempas pulas menafikan tuduhan tersebut. Akhirnya beliau berkata, mereka yang mempertikaikan kewibawaan polis adalah dijemput untuk menyertai operasi membenteras jenayah, bahkan akan ditempatkan di barisan hadapan supaya mereka memahami bahaya yang dihadapi polis setiap kali bertembung dengan penjenayah bersenjata. Melihat kepada lenggok bahasa dan body language beliau, kita nampak jelas kekesalan yang ditunjukkan hasil dari tuduhan liar ini.

Sahabat pembaca sekalian, marilah kita cuba memahami sedikit cara kerja anggota PDRM umumnya dan JSJ khususnya dalam menangani masalah pembenterasan jenayah berat ini. Sebahgian Warga Prihatin pernah berada bersama mereka untuk tugas berat ini, bermula dari usaha mendapatkan maklumat sehinggalah melakukan penangkapan. Tahukah kita berapa jam mereka keluar bekerja sehari, terutamanya bila menghadapi ancaman jenayah terancang yang dijangka akan memudaratkan masyarakat? Pernahkah kita bayangkan betapa ganas dan tidak berperi kemanusiaannya penjenayah apabila merasakan diri mereka terancam? Di mana kaki canang ini bila anggota PDRM di langgar mat rempit atau penjenayah yang enggan memberhentikan kenderaan apabila ditahan? Bahkan di mana mereka sewaktu kes tembak mati dan cedera parah anggota PDRM, pengawal keselamatan dan mangsa awam hasil perbuatan penjenayah ini? Begitu banyak kes culik, bunuh, rogol, rompak bersenjata yang gagal dikesan sehingga kini, di mana tukang canang ini? Apa pendirian mereka? Apa yang telah mereka usahakan untuk membantu?

Jika seorang peguam hebat memenangi kes melawan jenayah di mahkamah, mereka mendapat imbuhan yang banyak. Jika Penjenayah berjaya dalam rompakan atau mendapat wang tebusan hasil culik, mereka senang lenang.

Terfikirkah kita berapa banyak gaji dan elaun anggota Polis? Berapa banyak premium dan pampasan insuran mereka? Berapa banyak kerajaan bayar bil talipun peribadi mereka, khususnya untuk mendapatkan maklumat? Berapa banyak perbelanjaan luar jangka dan masa yang mereka terpaksa laburkan untuk mendapatkan maklumat? Anggota PDRM ini tiada keluarga yang perlukan perhatian kah? Tak perlu rasanya dijelaskan, tetapi cukup untuk dikatakan bahawa ianya tidak memadai sama sekali berbanding risiko dan masa yang mereka laburkan. Lantas untuk apa anggota PDRM bekerja?

Dari pengalaman bekerja bersama anggota PDRM membenteras sindiket dadah dan penjenayah, apa yang WP ingin kongsikan ialah kebanyakkan mereka bekerja untuk mendapatkan kepuasan hati di samping memenuhi arahan orang atasan mereka. Tetapi jika apa yang mereka lakukan untuk keselamatan awam kita pertikai dan nafikan, maka hilang kepuasan mereka bekerja dan prestasi mereka MUNGKIN menjadi lemah, jenayah mungkin dibiarkan oleh sesetengah dari mereka atau dibenteras mengikut cara ala kadar sahaja, nah.. siapakah yang akan sengsara?

Dalam kes jenayah berat yang telah sekian lama dilakukan risikan sehingga berjaya mengesan mereka yang disahkan memiliki senjata, bahkan telah berbalas tembak secara berdepan masih lagi ingin kita pertahankan?. Untuk tambah membakar sentimen rakyat, kita masukkan pula isu perkauman dan politik. Selain mempertahankan diri dan untuk menyelamatkan rakyat, terfikirkah kita dari segi hukum kanun Jenayah negara ini yang memilikki senjata api tanpa lesen juga seharusnya menghadapi hukuman mati? Apatah lagi setelah melakukan tembakan rambang, untuk apa tembakan rambang itu melainkan untuk membunuh? Jadi apa lagi pilihan yang ada di pihak polis? Tidakkah kita bayangkan jika kita berada di tempat anggota polis itu sendiri?

Fenomina membela kebatilan ini berlaku secara meluas termasuk dalam keluarga masyarakat negara ini, sehingga guru disiplin sekolah pun tidak dibenarkan menghukum pelajar yang melanggar peraturan, bergaduh, hisap rokok, ponteng sekolah dan sebagainya. Ibu bapa, terutamanya yang agak mempunyai kedudukan bukan berterima kasih kepada cikgu, malah mengancam untuk mengambil pelbagai tindakan termasuk tindakan mahkamah dan menukarkan cikgu disiplin ke pendalaman. Maklumat ini kami kumpulkan sewaktu berurusan memberi motivasi cegah jenayah di sekolah-sekolah (sila rujuk beberapa artikel dan video berkaitan di www.prihatin.net.my). Akhirnya masalah gejala sosial dan gangsterism semakin bertambah hari demi hari.

Sebahgian isu ini telah disentuh oleh WP dalam artikel Jemputan Perpaduan UMNO, PAS, PKR – Bah 2. Kami sangat menginginkan agar masyarakat menganggap insitusi kepolisian ini sebagai rakan dan saudara. Lakukanlah apa sahaja agar kita dapat membantu mereka dengan ikhlas dan mereka pula dapat bertugas penuh semangat dan bertanggungjawab. Mereka semua insan biasa, ada naluri amarah dan budibicara. Orang kata tak kenal maka tak cinta. Ini dapat kami sahkan melalui pengalaman bekerja bersama mereka. Kami amat terharu melihat mereka sanggup keluar membantu, bekerjasama membenteras jenayah hasil maklumat yang diberikan, tidak kira masa dan penat lelah, semata-mata atas rasa terima kasih dan menghargai kerjasama masyarakat terhadap tugas mereka.

Apa yang diperhatikan ialah apabila sentimen politik, habuan perniagaan digaul bersama dalam mengulas isu profesionalisma kepolisian ini. Janganlah jadi doktor yang inginkan orang sakit kerana inginkan pendapatan lebih dari rawatan yang kita tawarkan. Kami harap anda faham maksud yang tersirat.

Sentimen membenci anggota PDRM secara longgok dan beramai-ramai kelihatan menjadi-jadi semenjak berlakunya perpecahan politik negara dan bercambahnya kumpulan penjenayah dalam negara. Anggota PDRM yang terikat dengan arahan pemerintah yang dibelakangi politik pihak yang sedang berkuasa telah menjadi mangsa. Padahal PDRM hanya menjalankan tugas dan arahan, tidak kira dari parti mana yang sedang memerintah di tempat mereka bertugas. Jangan kita menipu diri sendiri dan terus menerus menyalahkan parti pemerintah tertentu. Beberapa buah negeri kini diperintah oleh Parti yang tidak selari dengan kerajaan pusat dan kita telah melihat banyak kes di mana anggota PDRM terpaksa bertindak mengikut arahan kerajaan negerii yang sedang memerintah.

Ayuhlah kita ketepikan seketika kepentingan perniagaan, sentimen politik dan kaum kita, demi kesejahteraan rakyat. Kita lihat kembali video yang kita jaja, bagaimana kedegilan dan provokasi dilakukan? Semuanya hasil dari kerja tukang canang dan batu api yang suka mengambil kesempatan. Jangan kira dari mana datang arahan, kita lihat budi bahasa PDRM yang menunggu 3 jam di luar rumah, berbincang 1 jam dalam rumah dan membawa keluar Dr Asri tanpa gari. Asal saja kita menurut kehendak mereka yang sekadar menjalankan tugas itu, pasti semua berjalan lancar. Benar salah atas kes penahanan itu kita minta mahkamah tentukan. Yang berlaku kekerasan adalah apabila kita menunjukkan kedegilan, provokasi dengan kata nista dan nada yang berbagai-bagai, sedangkan mereka tetap terpaksa melaksanakan tugas.

Tidak dinafi, perkhidmatan PDRM belum bersih sepenuhnya. Kes rasuah dan salahguna kuasa masih berlaku di sana sini. Kalau kita asyik menuding jari, tuduh menuduh, masyarakat jadi semakin renggang dari PDRM. keadaan tidak akan menjadi lebih baik, bahkan semakin ramai anggota yang akan mengambil kesempatan dari kekecohan ini untuk terus melakukan salahguna kuasa. Jika kita sayang untuk mengorbankan masa berharga, adalah lebih baik sarankan saja pihak kerajaan untuk menyediakan peruntukan kepada pihak-pihak awam yang sanggup duduk semeja dalam perbincangan keluarga bersama pegawai tinggi PDRM. Di situ, semua maklumat dan cadangan pembaikan boleh disalurkan dan kita boleh hidup sebagai keluarga besar bersama anggota PDRM tanpa rasa benci dan prejudis.

Kita kini beruntung kerana mempunyai Ketua Polis Negara,Tan Sri Musa Bin Tan Sri Hj. Hassan, yang amat prihatin, bekas Ketua Jabatan Tatatertib/Latihan dan dikenali sebagai amat lurus dan telus. Wajah luhur juga kelihatan dari peribadi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin. Namun itu belum cukup untuk membantu membersihkan imej dan memperkasakan perkhidmatan PDRM seluruhnya tanpa kerjasama masyarakat. Jika kita terus menerus mengambil sikap bermusuh dengan PDRM, masyarakat keseluruhannya akan rugi. Jenayah akan menjadi-jadi. Bagaimana boleh kita bergantung harap dengan pihak yang kita benci dan caci? Tentu tidak masuk akal bukan?

Semuga sedikit perkongsian ini boleh memberi hidayah untuk kita sama sama memperbaiki keadaan. Janganlah buka ruang untuk jenayah berleluasa. Jangan kita terus menerus membenci dan mengutuk insitusi yang akan melindungi kita. Salam kasih dari seluruh Warga Prihatin, khusus untuk warga PDRM – cekalkan hati dan gandakan usaha

No comments:

Post a Comment