Bagi merasai sifat keikhlasan sebenarnya, amat susah sekali terutama yang ada kaitan kepentingan umum atau orang ramai yakni yang terdedah kepada pandangan umum seperti berdakwah, mengajar, gotong-royong, baca Al-Quran di depan orang, forum, upacara memberi hadiah, lebih-lebih lagi orang yang tidak memikirkan tentang hatinya lalu hati dibiar dan terbiar, jarang diambil kira dan ini selalunya ramai yang terjebak.
Khususul Nafs iaitu kepentingan diri seperti ingin popular, disedari atau tidak adalah disebabkan kerana kurang kebersihan hati. Awal-awal lagi nawaitu (niat) telah rosak seperti membuat rumah di atas lumpur. Ada tiga jenis kerosakan yang berlaku pada 3 jenis kedudukan: Kerosakan awal - Contohnya seperti berdakwah, sebelum memberi ceramah, hati kecilnya berkata,"Inilah masanya nak jadi popular." "Aku akan jadi terkenal..." atau "Dengan ceramah ini dapatlah duit poket." Ada juga yang berniat untuk menghentam seseorang atau golongan tertentu sebelum berceramah, akibatnya rosaklah ikhlasnya ibarat orang yang melukis di atas air.
Kerosakan pertengahan - Niat untuk berceramah sudah baik tetapi sewaktu berceramah, ada pendengar yang angguk-angguk atau ada yang menangis kerana mendengar ceramah yang memberi kesan itu hingga hati kecil kita berkata, "Hebat juga aku hingga ada orang boleh terima ceramah ini dan ada pula yang menangis."
Kerosakan akhir - Niat dan sewaktu berceramah tidak ada apa-apa yang rosak, berjalan dengan baik tetapi sewaktu balik dari berceramah ada kawan yang datang bersama di dalam kereta berkata, "Hebat betul ceramah ustaz tadi hingga ada yang menangis."
Waktu itu maka datanglah rasa ujub hingga lupa ia semua itu datang dari Allah jua. Kita sepatutnya berasa malu kerana ini semua bukan dari diri kita tetapi hakikatnya dari Allah. Maka ini boleh diibaratkan seperti orang begitu ibarat membangunkan rumah, tiba-tiba siap sahaja rumah itu terus runtuh ini boleh menyebabkan orang itu tidak juga berubah sebab hati sudah cacat sebab orang ramai memuji kita, tetapi tetap tidak berubah sebab dari rasa riak. Sifat taqwa sudah ternafi. Oleh itu buatlah kerja-kerja dengan penuh tawadhu, takut dan cemas samada diterima amalan kita atau ditolak. "
Sesungguhnya Allah tidak melihat amalan lahir kamu, tapi amalan hati kamu." Apabila kita melakukan sesuatu niat kerana Allah semata-mata, tetapi ada orang mengkritik kita, kita melenting, hati tidak senang dengan orang itu, bermakna kita masih mempunyai niat lain selain dari Allah.
Dalam menghadapi keadaan dimana susahnya untuk mendapat ikhlas ini, kita hendaklah berdoalah pada Allah dengan doa yang berikut:
Ya Allah, rasanya kami belum berbuat apa-apa sebelum ini. Kalaupun ada berbuat sudah tentu ada kepentingan diri. Kalaulah bukan pimpinan dan bantuan Mu Tuhan, rasanya sebarang amalan kami mungkin tertolak semuanya. Berilah selalu hidayah dan taufiq Mu, ya Allah agar segala lahir dan batin menuju keredhoaan Mu, ya Allah Ikhlas umpama semut hitam berada di atas batu hitam dimalam yang gelap, tiada siapa pun yang tahu tentang ikhlas kecuali Engkau. Ikhlas ni adalah rahsia di dalam rahsia Mu
No comments:
Post a Comment